No. Pendaftaran Masjid: JAPK/DWH/M/MJG/48 Email : masjidhajiisa@gmail.com dan masjidlekir@yahoo.com Blog : masjidlekir.blogspot.com
Sabtu, 2 Januari 2021
Surah al-Mulk Masjid Haji Isa, Batu 8 Lekir Tahun 2021 KLIK sini
5 KELEBIHAN SURAH AL MULK DAN KENAPA KITA MEMBACANYA SEBELUM TIDUR
Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai berbagai-bagai faedah
dan rahmat kepada orang yang membacanya dan mengamalkannya seperti penawar
kepada penyakit tertentu dan lain-lain.
Dinamakan surah ”Al-Mulk” (Kuasa Pemerintahan), kerana pada awal surah
ini Allah Ta’ala menegaskan kekuasaanNya yang mutlak, – menguasai pemerintahan
dunia dan akhirat.
5 KEISTIMEWAAN SURAH AL MULK
1. DIAMPUNKAN DOSA BAGI YANG MEMBACANYA
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sebahagian daripada al-Qur’an ada satu surah yang jumlah
ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada
orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah
“al-Mulk”.
(Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi dan status hadith ini adalah
Hadith Hasan)
Hadith ini menunjukkan kelebihan surah “Tabaraka”. Orang yang sentiasa
mengamalkan membaca surah “al-Mulk” sehingga akhir surah akan diampunkan oleh
Allah SWT segala dosanya. Kerana itu surah ini sangat wajar dihafaz dan dibaca
setiap hari.
2. SURAH AL MULK PENYELAMAT DARI AZAB KUBUR
Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang kelebihan orang yang membaca
Surah al-Mulk pada setiap malam.
Hadith yang menyatakan kelebihan berkenaan adalah seperti berikut:
Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi
menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Lalu didapati di dalamnya ada
seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat.
Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ
أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ
الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
: هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali
tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki
membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut
adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.
Hadith riwayat al-Tirmidzi : 2890
3. AMALAN NABI SAW SETIAP MALAM
Sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir r.a bahawa sudah menjadi kebiasaan
Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi
biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah (surah
As Sajdah dan surah Al Mulk).
Daripada Jabir beliau berkata:
أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ
الم تَنْزِيلُ وَ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ
“Sesungguhnya Nabi Saw. tidak tidur hingga beliau
membaca surah تَنزِيلُ الٓمٓ (Surah al-Sajdah) dan
تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Oleh itu sebelum tidur, pastikan kita ambil sedikit masa untuk membaca
Surah Al-Mulk dan mencontohi sunnah Nabi SAW.
4. SURAH AL MULK MENJADI PEMBELA DI HARI AKHIRAT
Surah ini juga akan menjadi pembela kepada orang yang membacanya di Hari
Akhirat sehingga pembacanya masuk ke Syurga Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
سُوْرَةٌ مِنَ اْلقُرْآنِ، مَا هِيَ
إِلاَّ ثَلاَثُوْنَ آيةً، خَاصَمَتْ عَنْ صَاحِبِهَا حَتَّى أَدْخَلَتْهُ
اْلجَنَّةَ، وَ هِيَ تَبَارَكَ
“Ada surah dari Al-Quran, ia tidak terdiri kecuali hanya 30 ayat. Surah
tersebut dapat membela pemiliknya (orang yang banyak membacanya) sehingga
memasukkannya ke syurga iaitu, surah تَبَارَكَ
(Hadis Riwayat Thabrani)
5. DIGELAR SURAH AL MANI’AH DAN AL MUNJIAH
Hebatnya kelebihan surah Al Mulk, ia juga digelar sebagai surah
Al-Mani’ah (penghalang) dan Al-Munjiah (penyelamat) kerana surah tersebut
menghalang dan menyelamatkan mereka yang selalu membaca atau menghafalnya
daripada siksa kubur dan siksa api neraka.
(Hadith Riwayat An Nasai)
-
5 KELEBIHAN SURAH AL MULK DAN KENAPA KITA MEMBACANYA SEBELUM TIDUR Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai berbagai-bagai faeda...